Projek empangan hidroelektrik Kalimantan letak Sarawak di landasan tepat

Projek empangan hidroelektrik Kalimantan letak Sarawak di landasan tepat

Ahli ekonomi berkata pembabitan Sarawak dalam projek USD2.6 bilion menjadikan negeri itu kuasa serantau pembangunan kuasa hidro dan tenaga alternatif.

Presiden Indonesia Joko Widodo (tiga kiri) bersama Abang Johari Openg (tiga dari kanan) melakukan simbolik pecah tanah projek empangan hidroelektrik Mentarang, pada 1 Mac. (Gambar Sarawak Energy)
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi menyambut baik penyertaan Sarawak dalam pembinaan empangan hidroelektrik Mentarang, Indonesia, sambil menyifatkan negeri itu berada pada hala tuju yang betul dengan pembabitannya di wilayah Kalimantan.

Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie, berkata langkah berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai pemain serantau bagi pembangunan kuasa hidro, selain menyumbang dalam inisiatif Grid Kuasa Asean.

Beliau memberitahu FMT, bahawa Sarawak juga berterusan membekalkan lebihan elektrik di peringkat serantau.

Felo Akademi Sains Malaysia Madeline Berhad yang bersetuju dengan Lee, berkata pelaburan besar Sarawak dalam tenaga diperbaharui menjadikan negeri terbabit pusat tenaga alternatif di Asean.

Katanya, penglibatan dalam sektor itu mewujudkan ekonomi baharu dan peluang perniagaan kepada Sarawak dan Sabah, termasuk memperkukuh hubungan perniagaan.

“Contohnya, Sarawak sudah pun mengeksport bekalan elektrik ke Kalimantan. Memandangkan Nusantara secara rasmi menjadi ibu negara Indonesia tahun depan, ia menyajikan peluang kepada Sarawak terbabit dalam pembangunan lebih banyak empangan hidroelektrik di Indonesia,” katanya.

Kerajaan negeri menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) mempunyai 25% ekuiti dalam syarikat induk dalam projek Mentarang itu yang mempunyai dua pemegang saham lain, PT Kayan Patria Pratama (25%) dan PT Adaro Energy Indonesia Tbk (50%).

Pada 1 Mac, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Presiden Indonesia Joko Widodo hadir dalam majlis simbolik pecah tanah bagi projek empangan hidroelektrik itu yang bernilai USD2.6 bilion.

Lee berkata, Sarawak dan Indonesia perlu meningkatkan kelancaran rentas sempadan menerusi pintu keluar masuknya, lebih mod pengangkutan, dan kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

Katanya, Sarawak sepatutnya mengambil peluang kelebihan daya saingnya dalam industri berteraskan sumber, termasuk minyak dan gas, bagi mewujudkan kerjasama dua hala dengan Indonesia.

“Akan ada manfaat antara Sarawak dan Indonesia dalam perdagangan, ekonomi, perniagaan, dan pelaburan sekiranya kedua-dua pihak bekerjasama di peringkat kerajaan termasuk swasta untuk menjalin hubungan ekonomi dua hala yang kukuh antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, industri pembinaan dan perkhidmatan Sarawak dijangka berkembang kukuh ketika proses pembinaan ibu negara baharu Indonesia.

Madeline berkata, Sarawak perlu melihat untuk melakukan lebih banyak pelaburan di Kalimantan memandangkan ruang terbuka luas apabila ibu negara Indonesia bertukar ke Nusantara.

Katanya, sekiranya Sarawak mampu menyediakan apa diperlukan Jakarta dalam peralihan itu – daripada bahan pembinaan, buruh, dan mesin sehingga kepada makanan, perkhidmatan, pengangkutan, serta penginapan – ia pastinya memberi manfaat besar kepada negeri berkenaan.

“Selain itu, secara budayanya Sarawak dan Sabah berkongsi banyak persamaan dengan Kalimantan, justeru menjadikan perniagaan lebih mudah,” katanya.

Madeline berkata, Sarawak perlu membina lebih banyak lagi pusat pendidikan tinggi bagi menarik rakyat Indonesia melanjutkan pengajian di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.