Perbaharui Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 untuk pelihara bahasa, dialek, gesa sasterawan

Perbaharui Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 untuk pelihara bahasa, dialek, gesa sasterawan

Faisal Tehrani memberi amaran kegagalan perbaharui Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 boleh menyebabkan khazanah bahasa serta dialek kaum pupus.

Bahasa Iban hanya dianggap sebagai ‘sukuan’ dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang sasterawan berpandangan kerajaan harus mempunyai iltizam politik untuk memperbaharui Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 bagi memelihara pelbagai bahasa dan dialek di negara ini.

Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali Faisal Tehrani memberi amaran kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan khazanah bahasa serta dialek kaum pupus jika tiada usaha menyuburkannya.

Menurutnya, Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 hanya mengiktiraf bahasa Melayu manakala selainnya seperti bahasa Iban hanya dianggap sebagai ‘sukuan’.

“Tugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah memberdayakan bahasa kebangsaan. Jika kita mahu lebih dari itu, maka kerajaan perlu memperbaharui Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

“Tidak adil menyalahkan DBP sahaja,” katanya kepada FMT.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 diperkenalkan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dan digubal berdasarkan tiga prinsip:

  • Budaya kebangsaan mesti berdasarkan budaya Melayu;
  • Unsur-unsur yang sesuai dari budaya lain boleh diterima sebagai sebahagian daripada budaya kebangsaan; dan
  • Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Faisal turut berpendapat isu membabitkan bahasa dan budaya secara idealnya harus diuruskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bukannya dibebankan kepada Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata usaha juga perlu dilakukan untuk memberi kesedaran bahawa hak asasi manusia turut meliputi hak berbahasa ibunda yang lebih rencam termasuk dialek.

“Setiap orang berhak memilih bahasa ingin digunakan, begitu juga setiap kaum dan pecahannya berhak menggunakan bahasa atau dialek mereka,” tegasnya.

Justeru, katanya, kerajaan perlu menjadi pemudahcara dan memberdayakan kepelbagaian bahasa serta dialek manakala DBP pula terbabit proses aktiviti dan pemugaran dalam pendidikan.

“Bahasa akan pupus bila tidak digunakan, ia adalah alamiah.

“Akan tetapi kerajaan ada tanggungjawab menyuburkan semua bahasa dan dialek,” katanya.

Dianggarkan terdapat kira-kira 137 bahasa di Malaysia, dengan sebahagiannya di Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan, dan Bidayuh, serta bahasa Asli seperti Semai dan Temiar di Semenanjung.

Terdapat juga kebimbangan bahawa generasi masa depan tidak akan menggunakan dialek seperti Hakka, Hokkien, atau Telugu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.