Tubuh jawatankuasa khas pantau tayangan filem kontroversi, gesa Wanita Umno

Tubuh jawatankuasa khas pantau tayangan filem kontroversi, gesa Wanita Umno

Ketuanya Noraini Ahmad berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu penting susulan kontroversi filem 'Mentega Terbang' yang didakwa bertentangan akidah dan cara kehidupan umat Islam Malaysia.

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata filem Mentega Terbang bukan sahaja mempunyai unsur-unsur tidak wajar untuk tatapan umum masyarakat di negara ini, malah menghina dan memperlekehkan kesucian agama Islam.
PETALING JAYA:
Wanita Umno menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji, memperhalusi dan menambahbaik garis panduan serta bentuk penguatkuasaan undang-undang bagi membendung penerbitan filem yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini.

Ketuanya, Noraini Ahmad membuat desakan itu susulan kontroversi filem “Mentega Terbang” yang didakwa bertentangan akidah dan cara kehidupan umat Islam tempatan.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu juga penting bagi mengelak isu sama sepertimana tayangan filem “Mentega Terbang” daripada berulang.

“Dalam kita hendak menggalakkan industri kreatif di negara ini, perlu ada satu mekanisme yang jelas sebelum mana-mana filem ditayangkan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Noraini berkata, Wanita Umno mengutuk penerbitan filem kontroversi berkenaan yang jelas bukan sahaja mempunyai unsur-unsur tidak wajar untuk tatapan umum masyarakat di negara ini, tetapi telah menghina dan memperlekehkan kesucian agama Islam.

“Tayangan cerita seumpama ini seolah-olah cubaan untuk mempromosikan budaya ‘tak apa’ dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya umat Islam.

“Impak penyebaran filem ini amat besar kerana ia boleh memesongkan akidah dan mengelirukan umat Islam terutama anak muda. Tayangan filem seperti ini tidak boleh dinormalisasikan di negara ini,” katanya.

Terdahulu, tular sedutan babak tertentu dalam filem berkenaan yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging khinzir daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapa wanita itu membenarkannya keluar daripada Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak itu mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.

Mentega Terbang arahan Khairi Anwar ditayangkan di platform penstriman Viu atau aplikasi telefon pintar secara percuma sejak 19 Jan lalu.

Filem yang dibarisi pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jsebel Lee mengisahkan perjalanan seorang remaja mencari jawapan bagaimana kehidupan selepas kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.