Semua di FAM perlu ambil tanggungjawab, kata TMJ

Semua di FAM perlu ambil tanggungjawab, kata TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim kata ramai lagi yang terlibat dalam menandatangani pemain naturalisasi terbabit.

TUNKU MAHKOTA ISMAIL
Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan sidang media berkenaan kontroversi sekitar dakwaan dokumen palsu diserahkan kepada Fifa berhubung pemain naturalisasi. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Tunku Mahkota Johor menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tanggungjawab penuh atas kontroversi berhubung dakwaan dokumen palsu diserahkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung pemain naturalisasi.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga berkata beliau tidak bersetuju dengan penggantungan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berhubung isu tersebut.

Katanya, ramai orang yang terlibat dalam menandatangani pemain naturalisasi terbabit.

“Semua orang patut mengambil tanggungjawab — termasuk CEO (Harimau Malaya) dan mereka yang berada dalam pengurusan,” katanya pada sidang media di Hotel Dorsett Grand Subang.

Sementara itu, TMJ memaklumkan senarai pemain diserahkan kepada beliau dan Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, oleh beberapa ejen bola sepak tahun lepas.

Menurutnya, terdapat kira-kira 27 atau 28 pemain yang dicadangkan, dengan hanya tujuh melepasi pemeriksaan FAM dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Saya fikir ia cukup baik dan meluluskannya. Saya tidak meneliti setiap butiran,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pemalsuan dokumen, Tunku Ismail berkata beliau tidak terlibat secara langsung dalam proses teknikal pendaftaran.

“Apabila melibatkan butiran dan keteknikan, saya tidak terlibat,” katanya.

TMJ menambah FAM memperjuangkan isu ini sebabnya kerana setiap dokumen dikatakan sah.

“Semuanya boleh ditentusahkan oleh kerajaan. Mungkin ada kesilapan teknikal ketika menyerahkan dokumen, tetapi ia bukan pemalsuan,” katanya.

TMJ menyatakan FAM masih menunggu keputusan Fifa berhubung rayuan, dan mengakui bahawa hukuman mungkin tidak akan dibatalkan sepenuhnya.

Fifa mendenda FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) dan menggantung tujuh pemain naturalisasi selama 12 bulan, selepas mendapati dokumen yang diserahkan untuk mengesahkan kelayakan mereka mengandungi maklumat palsu.

Badan bola sepak dunia itu dijangka membuat keputusan mengenai rayuan FAM menjelang 30 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.