Saya belum lihat surat JPPM lagi, kata Saifuddin

Saya belum lihat surat JPPM lagi, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata, beliau tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai surat berkenaan dan akan memanggil ketua setiausaha KDN serta pegawainya selepas melihatnya.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, untuk berlaku adil beliau perlu melihat sendiri surat berkenaan sebelum membuat apa-apa ulasan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau belum melihat surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berhubung kelulusan terhadap usul tambahan Perhimpunan Agung Umno supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

“Saya tidak tengok lagi surat itu. Jadi to be fair (untuk berlaku adil), bagi saya prepare (buat persediaan) untuk saya berkomunikasi dengan pihak yang disebut. Bagi saya peluang untuk tengok surat itu dulu,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Saifuddin berkata, beliau baru tiba dari urusan luar negara (Manila, Filipina) dan tidak pernah berkomunikasi dengan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai surat JPPM tersebut dan akan memanggil ketua setiausaha KDN serta pegawainya selepas melihat surat itu.
“Saya tidak akan membuat spekulasi sana sini, (tidak akan ikut) dia ni kata ada surat, dia ni kata tidak ada surat.

“Takkan saya nak buat kenyataan teraba-raba begitu,” katanya.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan mendedahkan surat daripada JPPM yang menyatakan Umno tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi.

Katanya, beliau meminta setiausaha agung Umno menerbitkan salinan diperoleh daripada KDN itu.

Terdahulu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob meminta Zahid mendedahkan surat daripada JPPM yang menyatakan Umno tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi itu.

Katanya, Zahid perlu menunjukkan surat itu secara terbuka kerana terdapat dua laporan berita berbeza mengenai hasil siasatan JPPM.

Dalam PAU pada Jan lalu, parti itu meluluskan usul tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun, JPPM pada bulan lalu dilaporkan menyiasat kemungkinan berlakunya pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan.

Siasatan itu dibuat selepas dua ahli Umno memfailkan aduan kepada JPPM mendakwa tindakan membentangkan usul itu di perhimpunan agung melanggar Artikel 10 perlembagaan parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.