Ambil tindakan terhadap peniaga Rohingya, gesa Ahli Parlimen PH

Ambil tindakan terhadap peniaga Rohingya, gesa Ahli Parlimen PH

Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau mendakwa kehadiran peniaga Rohingya itu menghalang penduduk tempatan menjalankan perniagaan mereka.

Pengarah Eksekutif North South Initiative, Adrian Pereira (kiri) berkata kenyataan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau itu bersifat “sangat perkauman dan xenofobia”.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap peniaga Rohingya yang membuka gerai di Pasar Besar Meru, Klang.

Bagaimanapun, aktivis migran mendakwa kenyataan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau itu bersifat “sangat perkauman dan xenofobia”.

Ganabatirau ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat mendakwa kehadiran peniaga Rohingya itu menghalang penduduk tempatan menjalankan perniagaan mereka.

“Warga asing ini bukan setakat nak bekerja, tetapi mereka nak jadi ‘tauke’. Kalau tunggu lagi, selepas ini Meru akan menjadi seperti Selayang 2,” katanya yang merujuk sebuah pasar borong di Selangor yang sebelum ini terkenal kerana dikuasai peniaga warga asing.

Beliau turut mendakwa pihak berkuasa daripada KDN dan majlis perbandaran atau mana-mana agensi tak turun padang untuk menyelesaikan perkara ini.

“Sampai bila kita nak toleransi? Sampai bila pun saya tak tahu,” katanya.

Pada Jan 2021, dilaporkan peniaga Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dibenarkan untuk bekerja di Pasar Besar Meru hingga akhir April tahun itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif North South Initiative (NSI) Adrian Pereira dalam reaksi segeranya mengecam kenyataan Ganabatirau yang dianggapnya bersifat “sangat perkauman dan xenofobia”.

Pereira berkata, Ganabatirau menunjukkan “kebodohan dan kejahilan” dalam isu itu.

Katanya, naluri survival Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan menyebabkan mereka memulakan perniagaan sendiri, tetapi ini tidak bermakna mereka bersaing dengan rakyat Malaysia.

“Waktu seperti ini saya berharap Charles kembali,” katanya merujuk kepada penyandang Parlimen Klang sebelum ini, Charles Santiago yang didakwa Pereira lebih memahami isu itu.

“Dengan mengeluarkan kenyataan seperti ini, Ganabatirau meletakkan komuniti itu dalam keadaan lebih bahaya,” katanya.

Pereira berkata, gesaan Ganabatirau supaya KDN menyelesaikan itu adalah salah kerana isu pelarian adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.