3 kali Dr M ugut nak pecat saya sebagai menteri kewangan, kata Guan Eng

3 kali Dr M ugut nak pecat saya sebagai menteri kewangan, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, perdana menteri tidak melaksanakan ugutannya itu sebaliknya Mahathir meletak jawatan atas kerelaan sendiri pada Feb 2020.

Lim Guan Eng berkata berkata, bekas perdana menteri Mahathir Mohamad mengugut untuk memecatnya selepas beliau mendapatkan kelulusan daripada Jemaah Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lim Guan Eng mendakwa bekas perdana menteri Mahathir Mohamad mengugut untuk memecatnya sebanyak tiga kali kerana menentangnya ketika beliau menjadi menteri kewangan.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Lim berkata, ketika cadangan inisiatif pembaharuan oleh menteri tidak diluluskan oleh perdana menteri, mereka boleh merayu kepada Jemaah Menteri.

Lim yang menjadi menteri kewangan dari 2018 hingga 2020 berkata, beliau merayu kepada Jemaah Menteri sebanyak tiga kali di mana semuanya mendapat bantahan keras Mahathir.

“Saya berjaya mendapatkan kelulusan daripada hampir setiap menteri, untuk ketiga-tiga inisiatif yang menimbulkan kemarahan perdana menteri,” katanya.

“Pada setiap tiga peristiwa Mahathir ditolak oleh Jemaah Menteri, dia mengugut untuk memecat saya kerana menentangnya atas tiga inisiatif ini.

“Saya bersedia untuk dipecat tetapi terus melaksanakan inisiatif pembaharuan yang memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Katanya, Mahathir tidak melaksanakan ugutannya itu sebaliknya beliau meletakkan jawatan atas kerelaan sendiri pada Feb 2020.

Selain membantah pemberian peruntukan tahunan sebanyak RM3.8 juta kepada Ahli Parlimen kerajaan, kata Lim, Mahathir juga membantah kajian semula kontrak kerajaan yang diberikan tanpa tender terbuka

Pengerusi DAP itu berkata, Mahathir turut membantah pengurangan 18% tol lebuh raya PLUS sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan tol.

Lim menjawab komen Mahathir pada Sabtu lalu bahawa DAP tidak dapat mengawal beliau ketika menjadi perdana menteri untuk kali kedua semasa Pakatan Harapan menguasai Putrajaya.

Mahathir juga berkata, Lim kena meminta kebenaran daripada beliau sebelum “mahu melakukan sesuatu (dalam kerajaan)”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.