
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, antara langkah diambil polis adalah mewujudkan kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan serantau bagi memantau propaganda seperti itu supaya tindakan dapat diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Dalam usaha ini, semua agensi memainkan peranan secara aktif dan pemantauan ditingkatkan bagi memastikan tahap keselamatan terjamin.
“Orang ramai dinasihat supaya tidak gusar dengan laporan media mengenai aktiviti penyebaran propaganda oleh pihak-pihak yang menyokong IS. Berdasarkan situasi semasa, polis memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, pihaknya juga komited dalam memastikan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam, diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa tiada sebab untuk bimbang mengenai kehadiran kumpulan yang dikaitkan dengan IS di negara ini.
Saifuddin berkata, pihak berkuasa mengetahui percubaan kumpulan yang dikenal pasti sebagai Pusat Media Al Malaka itu untuk meluaskan pengaruhnya di sini.
Menurut Bahagian Siber Anti-Keganasan Nordic Counter-Terrorism Network (NCTN), kandungan kumpulan itu tersedia di web tertutup (dark web) dan pautannya dikongsi dengan struktur sokongannya di Malaysia.
Turut didedahkan bahawa kumpulan itu menggunakan ideologi radikal sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk menggugat kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kumpulan itu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan media IS di Indonesia dan Filipina.
Sebelum ini dilaporkan operasi IS di rantau Asia Tenggara berpusat di selatan Filipina.
Ketuanya, yang menggunakan nama Abu Zacharia, difahamkan terbabit dengan kumpulan IS yang mengepung Marawi, Filipina pada 2017.