
Beliau telah memanggil mesyuarat koordinasi gerak kerja bersama pegawai-pegawai daerah dan agensi-agensi di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor malam tadi.
“Operasi khas di kawasan yang kritikal sedang dan akan diteruskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Permasalahan dan solusinya juga diputuskan semasa mesyuarat ini,” katanya dalam catatan di Facebook malam tadi.
Beliau berkata, memandangkan Johor telah menerima laporan awal dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tentang kemungkinan gelombang baharu susulan amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah, menjadi tekad kerajaan negeri agar persiapan dan penyelarasan sewajarnya dilakukan.
“Mohon semua rakyat Johor untuk sama-sama memohon doa agar Allah SWT mengangkat musibah ini, dan semoga ada sinar di sebalik bencana banjir ini,” kata Onn Hafiz, yang juga Adun Machap.
Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri serta semua agensi terlibat yang bekerja siang dan malam membantu mangsa banjir.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) Noh Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawanan) On Jabbar@Jaafar serta pegawai-pegawai daerah dan wakil agensi-agensi terlibat.
Setakat 4 pagi tadi, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 44,860 orang di kesemua 10 daerah di negeri ini. Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas dengan 14,030 mangsa.