Tidak bertanding PRN antara pilihan MCA, kata Wee

Tidak bertanding PRN antara pilihan MCA, kata Wee

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, parti itu di tahap paling lemah dengan langsung tidak mempunyai kuasa rundingan kerusi.

Wee Ka Siong berkata, pemilihan calon untuk pilihan raya negeri akan menjadi ujian kepada semangat kerjasama kerajaan perpaduan. (Gambar Facebook MCA)
PETALING JAYA:
MCA mempunyai tiga pilihan untuk pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi, termasuk tidak terlibat secara langsung dalam persaingan itu, kata presidennya Wee Ka Siong.

Katanya, dua lagi senario adalah berusaha bertanding di kerusi tradisional parti itu atau cuba untuk mendapatkan bilangan kerusi minimum.

“Kita semua tahu bahawa MCA tiada Adun yang dilantik di semua enam negeri ini.

“Sekarang ini terpulang kepada mereka (kerajaan perpaduan) sama ada sedia memberi MCA bertanding di beberapa kerusi (di bawah tiket Barisan Nasional),” katanya ketika berucap melancarkan sambutan ulang tahun ke-74 parti itu.

Enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan, dan Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang dikuasai PAS dijangka mengadakan pilihan raya dalam tempoh empat bulan lagi.

Wee berkata, tanpa mengambil kira nasib MCA, pemilihan calon untuk pilihan raya itu akan menjadi ujian kepada semangat kerjasama kerajaan perpaduan.

“Perkembangan politik dalam dua ke tiga bulan akan datang adalah penting bagi menguji kebijaksanaan politik mereka yang berkuasa kini,” katanya.

Ahli Parlimen Ayer Itam itu juga mengakui MCA kini di tahap paling lemah, dengan tiada Adun di enam negeri, mengalami lebih banyak kekalahan daripada kemenangan sejak 2008.

“Dalam keadaan ini, MCA langsung tidak mempunyai kuasa rundingan dan akan menghadapi proses rundingan yang sangat sukar,” katanya.

Wee berkata, pembaharuan dalam MCA diperlukan untuk mendapatkan semula sokongan pengundi kerana majoriti pengundi Cina tidak menyokong parti itu.

“Kita mesti buat segalanya untuk pembaharuan. Kita perlu berdiri kuat semula dan membina parti kita. Tidak kira apa juga jawatan atau peranan dalam parti, tiada siapa yang akan berkuasa selamanya dan mereka yang berkuasa juga tidak sentiasa betul.

“Sebagai pemimpin kami sangat tahu parti akan kekal tetapi masa kami secara individu sebagai pemimpin adalah terhad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.