
Terdahulu, KWSP mengumumkan 5.35% dividen untuk simpanan konvensional dan 4.75% untuk akaun syariah. Ini lebih rendah berbanding 6.10% bagi simpanan konvensional dan 5.65% untuk akaun syariah yang diisytiharkan pada 2021.
KWSP juga mengumumkan pembayaran keseluruhan RM51.14 bilion kepada ahlinya, merangkumi RM45.44 bilion untuk simpanan konvensional dan RM5.7 bilion untuk akaun syariah.

Ahli ekonomi, Yeah Kim Leng berkata, dividen yang rendah sudah dijangka ekoran gelora dalam pasaran kewangan tempatan dan global pada tahun lalu yang meningkat daripada persekitaran ‘risk-off’ (apabila saham berisiko dijual) dan kawalan ketat dasar kewangan sebagai tindak balas terhadap peningkatan mendadak inflasi di seluruh dunia yang berpunca daripada krisis Rusia-Ukraine.
“Patut dipuji kerana KWSP mampu mengisytiharkan kadar dividen 5.35%, iaitu lebih dua kali ganda daripada purata kadar tiga bulan simpanan tetap iaitu 2.6% pada 2022,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, dengan kadar inflasi meningkat kepada 3.3% pada tahun lalu, kadar dividen yang rendah berbanding 2021 masih menyediakan pulangan tahunan sebenar yang munasabah, hampir 2%.
“Dengan prestasi pengurusan dana KWSP mencapai satu pulangan positif sebenar pada 2022, penyumbang menyaksikan penambahan dalam simpanan persaraan mereka,” katanya.

Shankaran Nambiar daripada Institut Kajian Ekonomi Malaysia turut berkongsi sentimen sama, katanya, KWSP melakukan kerja yang agak baik terutama terdapat tiga pengeluaran yang boleh mengganggu pelan pelaburan mereka.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran kadar dividen mungkin jatuh lebih rendah pada 2023.
“Kadar pulangan daripada KWSP tidak lagi menjadi ‘syurga’ yang selamat seperti tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah realiti baharu,” katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Effendy Abdul Ghani berkata, kadar dividen KWSP “agak baik” memandangkan memandangkan negara melalui tempoh pemulihan selepas pandemik Covid-19.

“Banyak pelaburan jangka masa panjang akan mengalami kejatuhan dividen susulan beberapa tahun yang sukar sebelum ini. Ia sudah dijangka.
“Mampu kekal di atas kadar 5% sudah agak baik untuk KWSP,” katanya.
Effendy berkata kadar dividen yang rendah tidak memberi kesan yang besar untuk tempoh jangka masa panjang.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, kadar dividen simpanan konvensional paling rendah pernah dicatatkan adalah 5.2% pada 2020 dan tertinggi 6.9% pada 2017.