
Ahli ekonomi terutamanya kagum dengan kejayaannya mengumpul kerusi mencukupi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan perpaduan pertama negara, tetapi lebih berhati-hati tentang dasar fiskal mengembang atau usahanya membantu perniagaan kecil.
Anwar menandakan 100 hari pertamanya sebagai perdana menteri hari ini. Beliau mengangkat sumpah pada 25 Nov 2022, enam hari selepas keputusan PRU15 membawa kepada keadaan Parlimen tergantung pertama kali bagi negara.
Pensyarah UiTM, Firdausi Suffian, berkata Anwar berjaya membawa kestabilan ekonomi dengan penubuhan kerajaan perpaduan.
“Kejayaannya meraih sokongan daripada pelbagai pihak di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak adalah sangat penting,” katanya kepada FMT.
Pasaran menunjukkan tindak balas positif, dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI mencecah paras tertinggi harian baharu pada hari diumumkan beliau akan menerajui kerajaan baharu negara.
Ditambah dengan kenaikan 1.8% oleh ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, Firdausi melihatnya sebagai petanda jelas pasaran teruja dengan masa depan Malaysia.
Bagaimanapun, dasar ekonomi Anwar tidak mendapat sambutan baik. Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Sri Murniati Yusuf, berkata masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada pendekatan fiskal mengembang akan memberikan kesan positif.
“Tiada pemotongan yang ketara ke atas perbelanjaan mengurus tetapi anggaran perbelanjaan pembangunan meningkat dengan ketara,” katanya.
Sebahagian besar daripada perbelanjaan baharu itu adalah untuk bantuan kewangan kepada golongan miskin dalam bentuk bantuan tunai dan skim penjanaan pendapatan jangka panjang, satu strategi yang menurut Firdausi lebih berkesan berbanding meluaskan subsidi atau kawalan harga.
Penganalisis Bait al-Amanah, Farah Anwar, berkata skim seperti inisiatif pendapatan rakyat dan pengecualian berterusan fi pemeriksaan bagi teksi, bas, kenderaan e-panggilan dan motosikal B2 juga menunjukkan komitmen untuk menggalakkan penjanaan pendapatan jangka panjang.
“Berbanding mengekalkan budaya kebergantungan, pentadbiran memperkasakan perniagaan mikro dan kecil serta rakyat dengan peluang pekerjaan,” katanya.
Bagaimanapun, percubaan Anwar untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), iaitu 98.5% daripada semua perniagaan di negara ini dikritik.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu, Johan Merican menegaskan, 150,000 perusahaan akan mendapat manfaat daripada pemotongan cukai 2% diumumkan baru-baru ini.
Sementara itu, Farah meragui peruntukan berkenaan akan memberikan kesan ketara, memandangkan ia hanya melibatkan 10% daripada semua PKS.
Bagaimanapun, Firdausi berkata, bantuan pinjaman kepada PKS akan membantu mengurangkan impak kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19.
Pendirian pentadbiran yang tidak jelas berhubung usaha membanteras budaya kartel dalam beberapa sektor utama turut mengundang kritikan.
Firdausi berkata, walaupun pentadbiran nampaknya mempunyai iltizam politik, ia akhirnya akan dinilai pada pelaksanaannya.
“Untuk mengelak kartel, kita mesti membaharui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terlebih dahulu. Segelintirnya adalah pemegang lesen dan oleh itu, rapat dengan pengawal selia. Bagi orang awam, mereka adalah ‘pemain’ dan ‘pengadil’,” katanya.
Pada masa akan datang, lebih banyak usaha diperlukan dalam usaha mencapai reformasi institusi, kata Geoffrey Williams, seorang profesor di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.
“Reformasi pinjaman PTPTN yang ditangguhkan, ketidakjelasan formula subsidi bersasar dan ketiadaan khabar mengenai penubuhan pejabat belanjawan Parlimen menjadi petanda bahawa kerajaan masih tiada agenda reformasi yang koheren,” katanya.
Bagaimanapun, Farah menegaskan, kerajaan perpaduan baharu sahaja ditubuhkan, jadi keutamaannya adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi dan politik.
“Kita harus bersabar,” katanya.
Dengan adanya kestabilan, tambahnya, lebih mudah untuk memperkenalkan lebih banyak reformasi institusi yang konkrit.
Landskap politik Malaysia berubah, dan pentadbiran kini menghadapi cabaran yang belum pernah dialami dalam usahanya menggiatkan semula ekonomi.
Terpulang kepada Anwar dan pasukannya untuk melakar hala tuju baharu buat negara.