SPRM tahan bendahari agung Bersatu

SPRM tahan bendahari agung Bersatu

Sumber memaklumkan Salleh Bajuri direman selama dua hari.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Bendahari Agung Bersatu Salleh Bajuri dan direman selama dua hari.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang mengesahkan perkara itu berkata Salleh ditahan semalam namun enggan mengulas lanjut mengenai penahanannya.

Sumber dalam Bersatu pula memaklumkan penahanan Salleh itu berkait siasatan ke atas program Jana Wibawa dan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).

Jana Wibawa inisiatif yang dilancarkan kerajaan ketika wabak Covid-19 melanda untuk membantu kontraktor Bumiputera.

AkuPN dilancarkan Perikatan Nasional pada 2021 untuk membantu belia menjana pendapatan, meningkat kemahiran, atau menceburi keusahawanan.

Badan anti-rasuah bulan lalu membekukan akaun Bersatu, dalam siasatan yang dijalankan mengikut Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Akaun terbabit dibekukan dalam siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram, menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Sumber SPRM hari ini berkata dakwaan tangkapan ke atas Salleh ini bersifat politik adalah “tidak berasas”.

“SPRM menjalankan siasatan secara adil dan berdasarkan keterangan,” katanya kepada FMT.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.