Penahanan bendahari Bersatu untuk cari kesalahan tak wujud, kata Hamzah

Penahanan bendahari Bersatu untuk cari kesalahan tak wujud, kata Hamzah

Setiausaha agung Bersatu berkata siasatan dilakukan ke atas vendor parti itu juga adalah sebahagian daripada pemburuan politik kerajaan PH-BN yang masih berterusan.

Hamzah Zainudin menyeru kerajaan PH-BN berhenti melakukan pemburuan politik yang tidak berkesudahan ke atas Bersatu dan menerima hakikat pucuk pimpinan parti itu tidak melakukan kesalahan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu menyifatkan penahanan Bendahari Agungnya Salleh Bajuri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tekanan yang diberikan kepada pemimpin parti itu untuk mencari kesalahan tidak wujud.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata siasatan dilakukan ke atas vendor parti itu juga adalah sebahagian daripada pemburuan politik kerajaan PH-BN yang masih berterusan.

“Bersatu berpendirian tahanan reman ke atas Salleh adalah sebahagian daripada tekanan diberikan kepada pegawai dan pemimpin Bersatu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, Salleh memberikan kerjasama penuh kepada siasatan SPRM sejak Januari lalu dan hadir setiap kali dipanggil.

“Setiap kali ada permintaan dokumen, beliau serahkan. Tidak pernah beliau menolak permintaan SPRM walaupun diminta pada saat-saat akhir.

“Namun, pada 1 Mac 2023 beliau sekali lagi dipanggil secara tergesa- gesa. Apabila hadir untuk memberi keterangan, beliau ditahan reman. Sebenarnya, tiada sebab munasabah untuk SPRM memohon penahanan reman Salleh atas alasan siasatan kerana beliau sentiasa hadir dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya setiap kali diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, penyata kewangan Bersatu diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam Persidangan Agung Tahunan.

“Tidak ada apa-apa perkara tidak teratur ditemui dalam penyata kewangan tersebut, yang disahkan juruaudit bertauliah. Salleh sebagai seorang bendahari yang beramanah dan berintegriti memastikan semua perolehan dibuat Bersatu melalui proses dan tatacara kewangan parti,” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah berkata, pihaknya menyeru kerajaan PH-BN berhenti melakukan pemburuan politik yang tidak berkesudahan ke atas Bersatu dan menerima hakikat pucuk pimpinan parti itu tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang.

Salleh ditahan SPRM pada 2 Mac untuk membantu siasatan agensi itu selama dua hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.