Lebih 1,000 kanak-kanak ditahan di depot imigresen

Lebih 1,000 kanak-kanak ditahan di depot imigresen

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka antara 15,845 pendatang tanpa izin yang dalam tahanan pihak berkuasa.

Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini memberitahu kanak-kanak ditahan di depot imigresen akan ditempatkan di bawah jagaan organisasi yang khusus dalam kebajikan kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Seramai 1,179 anak pendatang tanpa izin (Pati) ditahan di depot imigresen di seluruh negara sehingga 29 Jan lalu, dedah Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, kanak-kanak tersebut antara 15,845 Pati yang ditahan di depot imigresen.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,683 adalah wanita,” katanya di Dewan Rakyat.

Saifuddin mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berhubung usaha kementerian itu menangani pelancong asing tinggal lebih masa.

Saifuddin turut mendedahkan kumpulan terbesar Pati yang ditahan adalah warga Filipina berjumlah 5,138 orang.

Ini diikuti warga Myanmar, termasuk Rohingya dengan 4,424 tahanan, manakala Indonesia kumpulan ketiga terbesar seramai 4,097 orang.

Katanya, Jabatan Imigresen menahan 3,129 Pati dan 34 majikan antara Januari hingga 8 Feb.

Tahun lalu, seramai 22,804 Pati dan 371 majikan ditahan jabatan itu.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini dikritik selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia menyuarakan kebimbangan mengenai kebajikan 36 kanak-kanak di depot tahanan Lenggeng di Negeri Sembilan.

Kanak-kanak itu antara 67 warga Indonesia yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah penempatan haram di Nilai Spring pada 1 Feb lalu.

Saifuddin berkata, kanak-kanak yang ditahan di depot tahanan akan ditempatkan di bawah jagaan organisasi yang khusus dalam kebajikan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.