
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata ia bagi membolehkan bantuan terus sampai kepada rakyat, merujuk banjir di Johor ketika ini.
Katanya, Johor mempunyai 24 Ahli Parlimen daripada PH-BN manakala hanya dua Parlimen iaitu Pagoh dan Mersing daripada Perikatan Nasional (PN).
“Sekarang bayangkan banjir di Mersing, Ahli Parlimen Mersing tak diberi peruntukan, Ahli Parlimen lain dapat peruntukan jadi bagaimana nak tolong sedikit-sebanyak rakyat dia.
“Bukan semua Ahli Parlimen kita kaya, maknanya saya tak boleh, kalau untuk kita (Ahli Parlimen kerajaan) okay tapi untuk (parti) lawan, pandai-pandailah, tak boleh macam tu, mesti adil,” katanya di Dewan Rakyat.
Jumlah mangsa banjir di Johor kini mencecah 28,099 orang, terdiri daripada 7,805 keluarga yang ditempatkan di 197 pusat pemindahan sementara (PPS).
Minggu lalu, Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim kecewa dengan Belanjawan 2023 dibentangkan Anwar kerana tiada peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.
Mengulas lanjut, Hassan mencadangkan kerajaan meminda undang-undang bagi memastikan peruntukan sama rata buat semua Ahli Parlimen.
“Kalau ini Ahli Parlimen Tambun dapat lakukan memang cantik. Saya percaya ramai orang boleh sokong (Ahli Parlimen Tambun),” katanya.
Veteran PKR itu turut memohon Anwar selaku perdana menteri dan menteri kewangan, bukan hanya menilai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebaliknya turut meneliti Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.
“Lebih cantik kalau Tambun dapat dengar juga rintihan-rintihan blok pembangkang, Pantai Timur dan utara yang mahukan hak-hak di bawah federalisme.
“Saya bercakap ini dari segi perundangan, dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak-hak bagi negeri-negeri, Sabah dan Sarawak yang mesti kita laksanakan, juga negeri-negeri yang beri hasil minyak dan gas yang mesti kita laksanakan, mesti kita tunaikan dan telus.”
Ini bukan kali pertama Hassan mengkritik Anwar. Beliau pernah mengkritik secara berkias Anwar serta PKR yang didakwa menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa, selain mempersoalkan perjanjian persefahaman (MoU) Pakatan Harapan dengan gabungan parti menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.
“Saya walaupun secara ikhlas menyatakan dalam masa beberapa bulan sejak terbentuknya kerajaan ini, banyak yang saya ucapkan, banyak saya tulis agak kritikal menegur perdana menteri.
“Saya nyatakan itu, tetapi saya percaya takdir bahawa negara kita sekarang ini berada dalam keadaan pemimpin yang ada sekarang, suka atau tidak suka adalah pemimpin yang memimpin negara kita untuk membolehkan negara dalam semua aspek politik dan ekonomi untuk kita melangkah ke hadapan,” katanya hari ini.