Saman 1MDB Pua terhadap Najib ditangguh lagi

Saman 1MDB Pua terhadap Najib ditangguh lagi

Saman bekas Ahli Parlimen itu, yang dimulakan pada 2017, berhubung salah laku dalam jawatan awam mesti menunggu keputusan kes jenayah Najib Razak.

Pada 2020, Najib Razak mendapat kebenaran menangguhkan prosiding dalam saman salah laku yang difailkan Tony Pua sementara menunggu keputusan perbicaraan jenayah 1MDB bekas perdana menteri itu.
KUALA LUMPUR:
Saman salah laku (misfeasans) bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua terhadap Najib Razak kekal digantung sementara menunggu keputusan perbicaraan rasuah 1MDB bekas perdana menteri itu.

Peguam Pua, Tan Cheng Leong berkata, Hakim Ahmad Shahrir Salleh menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 8 Nov ini untuk pihak-pihak memaklumkannya perkembangan kes jenayah itu.

“Prosiding sivil akan kekal digantung sehingga selesai perbicaraan jenayah Najib,” kata Tan kepada FMT.

Najib diwakili peguam Norhazira Abu Haiyan.

Pada 2020, Najib mendapat kebenaran menangguhkan prosiding bagi kes sivil itu.

Pua memfailkan saman itu terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Jan 2017 untuk mendapatkan ganti rugi atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam berhubung hal ehwal 1MDB.

Beliau mendakwa Najib, yang juga penjawat awam, dalam kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Pekan, perdana menteri dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB ketika itu, mempunyai peranan langsung serta tidak langsung dalam keputusan dan hala tuju syarikat milik kerajaan itu.

Pada 19 Nov 2019, dalam satu keputusan penting, Mahkamah Persekutuan menyatakan bekas perdana menteri itu adalah penjawat awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya semasa memegang jawatan, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Hakim Nallini Pathmanathan, yang menyampaikan keputusan panel lima hakim berkata, saman yang dikemukakan terhadap Najib berhubung 1MDB kelihatan mengandungi unsur diperlukan untuk membentuk tuntutan sah.

“Sama ada beliau (Pua) akan berjaya atau tidak dalam perbicaraan adalah persoalan keterangan, terutamanya berkaitan dakwaan kesan buruk dialaminya,” katanya.

Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berhubung dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan jenayah itu bermula 28 Ogos 2019. Sehingga kini, 44 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.