
William Leong (PH-Selayang) berkata, keseluruhan struktur pasaran negara perlu “diperbetulkan” untuk menghapuskan monopoli dan kartel dalam industri seperti penanaman padi, bahan binaan, telekomunikasi, gula dan tepung gandum serta minyak sawit.
“Masalah harga makanan dan kos sara hidup tinggi muncul daripada masalah struktur pasaran.
“Monopoli dan kartel mengambil kesempatan ke atas pengguna. Harga produk dinaikkan semberono sehingga ke tahap tidak masuk akal.
“Penyalahgunaan kuasa oleh pemain pasaran dominan atau monopoli perlu ditangani untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan di Dewan Rakyat.
Leong berkata, beberapa syarikat besar menguasai bekalan barang keperluan seperti tepung gandum, beras dan minyak sawit menyebabkan restoran serta peruncit terdedah kepada kenaikan harga dan bekalan tidak stabil.
Katanya, pengguna juga rugi kerana kurang pilihan, harga tinggi dan kualiti barangan rendah, dengan monopoli dan kartel ketika ini “feeding on the poor masses”.
“Saya mencadangkan kerajaan membuka pasaran dan membenarkan lebih banyak perusahaan mengimport barangan.”
Leong menggesa Putrajaya memainkan peranan sebagai penjaga berbanding pemain perdagangan dalam ekonomi, dan kerajaan sepatutnya menggalakkan persaingan dalam pasaran.
“Malaysia perlu mempunyai pasaran terbuka dan berdaya saing dengan harga barangan ditentukan pasaran, bukannya ditetapkan kerajaan atau sesiapa pun.
“Kebebasan ekonomi bermaksud persaingan penuh bagi memastikan harga berfungsi secara organik.”