Bunuh bayi diasuh isteri, lelaki gagal rayu hukuman mati

Bunuh bayi diasuh isteri, lelaki gagal rayu hukuman mati

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Hazmi Majid yang disabitkan bersalah membunuh bayi perempuan 11 bulan diasuh isterinya.

Mahkamah Rayuan memutuskan hakim yang membicarakan kes itu tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang, apabila menyabitkan Hazmi Majid bersalah atas tuduhan membunuh.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut yang didapati bersalah membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Hanipah Farikullah berkata, hakim yang membicarakan kes itu tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang, apabila menyabitkan Hazmi Majid, 41, bersalah atas tuduhan itu.

“Tiada kesilapan dan kecuaian undang-undang yang mewajarkan campur tangan rayuan,” kata Hanipah yang bersidang bersama Hakim Ahmad Nazfy Yasin dan See Mee Chun.

Hanipah ketika menolak rayuan Hazmi berkata, kecederaan yang dialami bayi itu cukup untuk menyebabkan kematian.

Katanya, hakim perbicaraan juga menggunakan beban pembuktian betul ketika menyabitkan Hazmi bersalah.

Hanipah berkata, hakim perbicaraan mempertimbangkan dengan teliti pembelaan Hazmi bahawa dia mabuk, tetapi menolak hujah itu kerana tertuduh secara sukarela mengambil syabu sebelum melakukan jenayah terbabit.

Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa, melakukan kesalahan itu di sebuah unit pangsapuri di Bandar Baru Bangi pada 7 Nov 2018.

Media melaporkan bayi itu meninggal dunia dua hari selepas berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang. Mangsa dipercayai didera secara fizikal dan seksual.

Ibu mangsa pada mulanya dimaklumkan pasangan itu bahawa anaknya tercekik cebisan epal dan dibawa ke hospital.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan koyakan pada selaput dara dan dubur mangsa.

Laporan bedah siasat menyatakan punca kematian mangsa akibat kesan kecederaan pada kepala dan tengkorak.

Tertuduh diwakili peguam T Vijayandran dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Parvin Hameedah Natchiar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.