Polis masih siasat kes buang al-Quran di Lembah Klang

Polis masih siasat kes buang al-Quran di Lembah Klang

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lapan individu diambil keterangan setakat ini.

Tangkap layar daripada video tular awal bulan ini menunjukkan beberapa naskhah al-Quran yang dikeluarkan dari longkang di Taman Sri Murni, Gombak.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat penemuan naskhah al-Quran yang dibuang di beberapa lokasi di Lembah Klang.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan masih dijalankan dengan keterangan lapan individu sudah diambil setakat ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan orang ramai bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

“Dalam menjaga sensitiviti dan kesucian al-Quran, sekiranya ada pihak ingin melupuskannya, (mereka) sewajarnya mendapatkan nasihat jabatan agama negeri masing-masing sebelum pelupusan dibuat.”

Dalam satu video tular awal bulan ini, seorang lelaki dilihat mengeluarkan beberapa naskhah al-Quran dari longkang dekat Taman Sri Murni, Gombak.

Menurut lelaki itu, beberapa naskhah dalam keadaan baik, manakala yang lain telah koyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.