Pemuda PH akan bertemu menteri pendidikan tinggi berhubung Auku

Pemuda PH akan bertemu menteri pendidikan tinggi berhubung Auku

Naib Ketua Pemuda Harapan Young Syefura Othman berkata perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.

(Dari kiri) Young Syefura Othman, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Adam Adli dan Dr Kelvin Yii semasa mesyuarat mereka untuk membincangkan pembentukan Kaukus Bipartisan Ahli Parlimen muda.
PETALING JAYA:
Pemuda Pakatan Harapan akan bertemu Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin bagi membincangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang kontroversi.

Naib Ketua Pemuda Harapan, Young Syefura Othman mengulangi bahawa pemansuhan akta itu adalah janji yang dibuat oleh Pemuda PH semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dengan menyatakan mereka kekal komited dengan manifesto berkenaan.

Minggu lalu, Khaled berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Auku kerana ia masih relevan bagi tujuan tadbir urus di universiti.

“Pemuda Harapan akan bertemu dengan menteri pendidikan tinggi untuk berbincang mengenai isu ini dalam jangka masa terdekat,” kata Young Syefura dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bentong itu juga berkata beliau menyertai Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii untuk bertemu Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung penubuhan Kaukus Bipartisan Ahli Parlimen muda.

Beliau berkata pembentukan kaukus seperti itu adalah baik memandangkan PRU15 menyaksikan ramai Ahli Parlimen muda dipilih, sekaligus menjadi platform untuk membincangkan dan memperjuangkan isu-isu melibatkan belia.

“Saya harap Kaukus Bipartisan ini akan disertai oleh Ahli Parlimen muda daripada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sebelum ini berkata jawatankuasa kerja untuk pemansuhan Auku telah dibentuk dan ditugaskan menyediakan draf akta baharu untuk menggabungkan kedua-dua Auku dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Bagaimanapun, ini tidak dapat dilaksanakan selepas kerajaan PH tumbang pada Februari 2020. Penggantinya, Noraini Ahmad, dilaporkan berkata kedua-dua akta tersebut tidak perlu digantikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.