
Langkah ini termasuk mempercepat proses pelantikan graduan perubatan secara kontrak dengan mengetepikan proses temu duga yang dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, meningkatkan peluang latihan kepakaran untuk doktor, dan melantik semula pegawai perubatan yang telah bersara secara kontrak.
“Sehingga 31 Dis 2022, terdapat seramai 6,985 pakar perubatan, 52,666 pegawai perubatan dan 69,608 jururawat sedang berkhidmat di fasiliti KKM,” katanya dalam jawapan lisan Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai langkah-langkah yang diambil KKM untuk mengatasi kekurangan doktor dan jururawat di hospital.
Zaliha berkata, KKM sedang berusaha untuk mencapai sasaran seorang pegawai perubatan bagi setiap 400 penduduk menjelang 2025.
Pada 2021, nisbah pegawai perubatan dalam sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta kepada penduduk adalah seorang pegawai perubatan bagi setiap 420 penduduk.
Beliau berkata, bilangan slot latihan siswazah (houseman) untuk graduan perubatan juga telah ditambah kepada 12,228 tahun lepas dalam usaha menyelesaikan masalah kekurangan kakitangan kesihatan.
Pada 16 Feb, Zaliha berkata, hanya 62% (7,576) daripada 12,228 jawatan “houseman” telah diisi.
Dalam jawapan Parlimen lain kemudiannya, beliau berkata, 4,652 lagi jawatan masih kosong berikutan doktor “houseman” menamatkan latihan mereka, meletak jawatan atau penamatan perkhidmatan.