
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Setar Siti Norhidayah Mohd Noor terhadap sembilan lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 26 hingga 57 tahun selepas permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber SPRM, lima daripada mereka ialah penjawat awam yang merupakan kakitangan Jabatan Perikanan, Pasukan Gerakan Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Semalam, media melaporkan puluhan kakitangan dan pegawai penguat kuasa dipercayai menerima suapan secara bulanan sejak lebih lima tahun lepas dengan kegiatan itu berjaya dikesan berikutan risikan SPRM terhadap tiga agensi kerajaan berkenaan.
Laporan itu menyebut kakitangan tiga agensi tersebut dipercayai menerima rasuah daripada pemilik bot nelayan dan pengusaha sangkar ternakan ikan, dalam bentuk wang tunai.
Risikan dilakukan SPRM sejak beberapa bulan lepas terhadap semua agensi itu, terutama di negeri utara tanah air iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, selain turut melibatkan Pulau Langkawi.