Hasil rundingan pembelian MySejahtera antara tumpuan Dewan Rakyat

Hasil rundingan pembelian MySejahtera antara tumpuan Dewan Rakyat

Selain itu, soalan mengenai cara mengatasi isu kesesakan bagi urusan pasport serta inisiatif kerajaan membantu pekerja ekonomi gig akan turut dibangkitkan.

Perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 juga dijadualkan akan berlangsung pada sidang Dewan Rakyat hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perkembangan mengenai perincian hasil rundingan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Syarikat MySJ Sdn Bhd untuk membeli aplikasi MySejahtera antara perkara yang akan dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) kepada menteri kesihatan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan. Beliau juga ingin tahu pelan KKM untuk mengoptimumkan penggunaan aplikasi itu.

Turut dibangkitkan persoalan daripada Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada menteri dalam negeri mengenai langkah penyelesaian proaktif dan progresif dalam mengatasi isu kesesakan yang serius bagi urusan pasport di Jabatan Imigresen.

Sh Mohmed ingin tahu sama ada kementerian mempunyai cadangan untuk mengembalikan semula proses permohonan pasport secara “walk-in” (tanpa janji temu) di pejabat imigresen berbanding permohonan menerusi dalam talian dan menghapuskan sistem kuota harian bagi permohonan pasport.

Selain itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) pula meminta menteri sumber manusia menyatakan inisiatif kerajaan membantu pekerja ekonomi gig, selain cabaran dihadapi untuk memberi atau mewajibkan jaminan perlindungan insurans bagi sektor itu.

Selesai sesi soal jawab itu, perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 juga dijadualkan akan berlangsung hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.