
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata ini kerana ia bukan saja diluluskan di Parlimen, malah majikan diberikan tempoh sehingga 1 Jan lalu untuk melaksanakan perkara itu.
“Tahun lalu, pindaan berkenaan undang-undang ini telah diumumkan di Parlimen disusuli kenyataan media. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua majikan mematuhi undang-undang tersebut.
“Jadi, saya tidak mahu ada sebarang alasan daripada mana-mana majikan mengatakan mereka tidak tahu tentang undang-undang diluluskan ini,” katanya pada sidang media di Pusat Pembangunan Modal Insan Perak.
Pada 23 Feb lalu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor dilaporkan menggesa Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan keras terhadap majikan yang mengingkari pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022).
MTUC turut menegaskan terdapat laporan masih ada majikan tidak mempedulikan pindaan akta itu, termasuk dalam soal pengurangan waktu bekerja.
Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, KSM akan kekal komited dalam memastikan pemerkasaan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) diteruskan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak terlibat.
Ketika ini, katanya, fokus utama kerajaan terarah untuk memastikan setiap lepasan TVET memperoleh pekerjaan sepadan kemahiran mereka melalui kursus yang dipelajari.
“Kita mahu memastikan anak-anak dilatih di bawah program TVET mempunyai nilai pasaran tinggi kerana sering kali dibangkitkan isu ketidakpadanan. Graduan dihasilkan tidak diperlukan industri dan ini akan merugikan sumber dari segi kewangan, masa dan tenaga.”