
Ketua Polis Shah Alam, Iqbal Ibrahim, berkata letupan pada 3.50 pagi itu berlaku ketika pemilik kereta berusia 35 tahun berada di ruang tamu rumah, sebelum dimaklumkan isterinya yang ternampak percikan api di atas kereta mangsa.
“Selang dua minit, mangsa bekerja sebagai penghantar barang bungkusan keluar dari rumah untuk memeriksa keadaan di luar rumah dipenuhi asap dan kemudiannya terus menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati Myvi berwarna kuning milik mangsa diparkir di hadapan rumahnya berlubang di bahagian bumbung dipercayai kesan gelombang letupan kerana lekukan besi bumbung kereta bengkok ke dalam.
“Pemeriksaan dalam kereta tidak menjumpai apa-apa senjata atau benda asing dan menurut saksi kejadian, iaitu jiran mangsa mendengar satu letupan kuat sekitar 3.50 pagi.”
Katanya, pemeriksaan pasukan forensik dari IPK Selangor bersama forensik Bukit Aman dari unit pemusnah bom di tempat kejadian mendapati bahan letupan jenis “low explosive”, iaitu serbuk belerang, itu dibuat individu yang mempunyai pengetahuan mengenai bom.
Iqbal berkata, mereka menggunakan teknik bakar kerana polis menjumpai sumbu dipercayai digunakan untuk memulakan letupan itu, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Setakat ini, katanya, 10 saksi dirakam percakapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Mohammad Khairi di talian 012-2666025.