
Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil, berkata ia mungkin diumum lebih awal kerana rundingan secara rasmi mengenai pembahagian kerusi di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah berlangsung “agak lama”.
Katanya, rundingan berjalan lancar di setiap negeri ketika ini dan hasilnya akan dibawa ke Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan.
“Saya jangka (pengumuman hasil rundingan pembahagian kerusi PRN) dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang sebab perbincangan rasmi sudah berlangsung agak lama.
“Mungkin diumumkan sebelum hujung Mac atau lebih awal. Tidak semestinya semua negeri diumumkan serentak, mungkin ada sesetengah negeri diumum dahulu.
“Apa pun kita tunggu pengumuman rasmi daripada Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” katanya menurut Berita Harian.