
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya melaksanakan pelan kelonggaran bagi memenuhi permintaan industri, setelah menerima pemberitahuan Bank Negara agar memudahkan proses permohonan pekerja asing.
“Sehingga kini, KDN meluluskan 380,000 permohonan warga asing yang tinggal lebih tempoh dan tidak mempunyai dokumen agar mereka segera mencari majikan.
“Kelonggaran ini diberikan kepada beberapa sektor kritikal seperti perladangan, pertanian, perkilangan dan perkhidmatan,” kepada selepas melawat Kompleks ICQS Padang Besar.
Di peringkat pertama ini, katanya, pemain industri memerlukan sehingga 518,000 tenaga kerja asing dan langkah itu dapat membantu perkembangan ekonomi sekurang-kurangnya 1%.
Saifuddin berkata, usaha ini penting bagi membantu perkembangan ekonomi negara yang dijangka berkembang kepada 4.5% seperti dinyatakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 semalam.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, katanya, jumlah pekerja asing tidak boleh melebihi 2.4 juta orang menjelang 2025 dan sehingga kini terdapat 1.5 juta pekerja asing di negara ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KDN dalam proses akhir pemerolehan kamera badan bagi kegunaan agensi di bawahnya, termasuk polis.
Pihaknya sedang memuktamadkan kontraktor layak bagi mengendalikan pemerolehan kamera badan melibatkan peruntukan RM30 juta yang diluluskan Kementerian Kewangan tahun lalu.
“Penggunaan kamera badan dilihat mampu meningkatkan integriti perkhidmatan, malah menjadi sumber bukti anggota polis dan petugas keselamatan lain.
“Ia juga dapat mengawal manipulasi, meningkatkan kepercayaan orang ramai dan keyakinan anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas secara profesional.”