Kumpulan pemikir kecewa tiada usaha perangi penyakit tidak berjangkit

Kumpulan pemikir kecewa tiada usaha perangi penyakit tidak berjangkit

Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, langkah mencegah penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi julung kali tidak disenaraikan dalam belanjawan negara.

Kementerian Kesihatan menerima peruntukan RM36.3 bilion dalam Belanjawan 2023, meningkat 12% daripada tahun lepas.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pemikir kecewa kerajaan tidak mengutamakan masalah kronik dalam sistem kesihatan negara, walaupun terdapat cadangan dalam Belanjawan 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib berkata, langkah memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi julung kali tidak dimasukkan dalam belanjawan negara.

Katanya, belanjawan negara terdahulu menyatakan negara sedang bergelut dengan krisis NCD, di mana satu daripada lima orang menghidap diabetes; tiga daripada 10 orang dengan hipertensi; dan 3.4 juta orang kini menghidap sekurang-kurangnya dua NCD.

Menurutnya, beban semakin meningkat terhadap sistem kesihatan negara adalah gejala krisis itu.

“Lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu mencegah NCD,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Azrul berkata, walaupun kerajaan komited menyelesaikan masalah kekurangan pekerja sektor kesihatan dengan memperuntukkan RM3 bilion untuk jawatan tetap dan kontrak baharu, ia juga perlu membiayai kenaikan pangkat petugas sedia ada.

“Kerajaan mesti menaikkan gaji untuk mengekalkan pekerja mahir,” katanya.

Beliau menyambut baik pelaksanaan cukai untuk rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin, tetapi terkilan tiada usaha bagi langkah sama membabitkan peranti vape tanpa nikotin.

Ini kerana katanya, industri vape yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion, sebahagian besarnya datang daripada vape tanpa nikotin.

“Semua produk vape dan e-rokok harus dikenakan cukai.”

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh menggesa pengasingan perkhidmatan kesihatan dan perubatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dengan tangga gaji berasingan.

Jelasnya, langkah itu akan membolehkan kakitangan menikmati gaji dan latihan lebih baik berdasarkan keperluan semasa.

Kementerian Kesihatan menerima peruntukan RM36.3 bilion dalam Belanjawan 2023, meningkat 12 % daripada tahun lepas.

Antaranya membabitkan perbelanjaan RM120 juta untuk golongan miskin mendapatkan rawatan di klinik swasta dalam usaha mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.

Peruntukan lain termasuk RM4.9 bilion untuk perolehan ubat-ubatan dan vaksin, RM10 juta bagi perolehan generator buat 10 hospital dan RM100 juta untuk menggantikan peralatan perubatan usang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.