Kementerian Pendidikan terus terima peruntukan tertinggi

Kementerian Pendidikan terus terima peruntukan tertinggi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan meliputi naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas.

Sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah di seluruh negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion pada 2023 berbanding RM52.6 bilion 2022.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah buat anak-anak.

“Ini meliputi naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas.

“Peruntukan turut melibatkan kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama dan kelas yang telah uzur,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak RM560 juta termasuk SK Paya Dusun di Terengganu, SMK Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Selain itu, tambahnya kerajaan menyediakan RM777 juta bagi menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid-murid, kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) supaya dapat memanfaatkan 700,000 murid.

Beliau berkata, selain daripada RMT yang dipertingkat daripada RM625 juta itu, kerajaan mempertingkat peruntukan untuk Program Makanan Prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ia ditingkatkan daripada RM89 juta kepada RM108 juta bagi memberi manfaat kepada lebih 240,000 murid prasekolah KPM. Pemantauan juga akan dibuat kepada penyedia makanan untuk pastikan makanan disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.