Belanjawan 2023: Veteran tentera rasa terpinggir

Belanjawan 2023: Veteran tentera rasa terpinggir

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia berkata, kadar pencen ketika ini terlalu rendah hingga sukar mereka meneruskan kehidupan selesa.

Sebahagian 500 veteran tentera yang menerima Pingat Jasa Malaysia pada minggu lepas atas jasa perkhidmatan mereka pada negara. (Gambar Kementerian Pertahanan)
PETALING JAYA:
Majoriti veteran tentera tidak mendapat manfaat daripada Belanjawan 2023, kata Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).
Shahruddin Omar.

Presiden PVTAM, Shahruddin Omar berkata, belanjawan kerajaan itu hanya meliputi mereka yang baru bersara atau yang akan menamatkan perkhidmatan tentera pada tahun ini.

Katanya, majoriti daripada 178,000 ahli persatuan itu berumur 50 tahun ke atas, dengan pencen yang kecil dan ramai bergelut dengan masalah kesihatan.

Kebanyakan mereka menerima pencen antara Rm500 hingga RM2,000 sebulan, katanya. Pencen mereka sudah bertahun-tahun tidak dinaikkan menyebabkan ramai ahli termasuk mereka yang berkhidmat ketika pemberontakan komunis, jatuh miskin.

Hanya mereka yang berkhidmat sekurangnya 21 tahun layak mendapat pencen manakala pencen yang lebih tinggi diberikan kepada mereka yang bersara selepas pindaan dibuat pada Akta Pencen 2013, yang memperuntukkan kenaikan tahunan sebanyak 2%.

Dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan hari ini, kira-kira 5,000 anggota tentera yang bakal bersara tahun ini ditawarkan kerja dengan syarikat berkaitan kerajaan atau menjalani latihan dalam pelbagai bidang seperti pengendali dron dan keselamatan siber.

RM36 bilion untuk perkhidmatan keselamatan

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM36 bilion untuk keselamatan, iaitu RM18.5 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri dan RM17.7 bilion untuk Kementerian Pertahanan.

Peruntukan itu tidak mencukupi untuk memperkasakan sektor pertahanan, kata pensyarah di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional, Salawati Mat Basir.

“Kita hanya boleh fokus kepada pembelian aset yang paling diperlukan seperti kapal kecil, raifal dan peralatan tempur. Tetapi kita boleh memenusi pembelian itu sekiranya tiada ketirisan,” katanya kepada FMT.

Pakar keselamatan dari Universiti Sains Malaysia, P Sundramoorthy berkata, peruntukan RM18.5 juta tidak mencukupi untuk memperkasakan pasukan polis kerana ia perlu diagihkan kepada pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Ini termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan, imigresen dan jabatan penjara.

“Sukar untuk menambah baik keperluan anggota lain-lain pangkat seperti tambahan elaun perumahan dan menyediakan fasiliti lebih baik untuk mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.