2 juta belia akan terima e-tunai RM200, umum PM

2 juta belia akan terima e-tunai RM200, umum PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bantuan untuk belia 18 hingga 20 tahun itu membabitkan peruntukan berjumlah RM400 juta.

KUALA LUMPUR:
Seramai dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun akan menerima bantuan kredit e-tunai Belia Rahmah, berjumlah RM200 menerusi Belanjawan 2023 baharu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM400 juta.

Turut diumumkan, tambahan bantuan sebanyak RM600 untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi kategori miskin tegar mengikut data e-Kasih, yang ketika ini menerima bantuan sehingga RM2,500.

Sumbangan itu akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600.

“Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, keluarga isi rumah pendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500, bergantung kepada bilangan anak.

Secara keseluruhan, perdana menteri berkata, STR membantu meringankan beban sara hidup 8.7 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

Katanya, STR telah memanfaatkan lebih 60% rakyat dewasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.