Perluas pengecualian duti setem untuk rumah bawah RM500,000, Putrajaya diberitahu

Perluas pengecualian duti setem untuk rumah bawah RM500,000, Putrajaya diberitahu

Ini kerana terdapat permintaan tinggi terhadap rumah lebih murah oleh pembeli, menurut persatuan pembeli rumah dan pemaju.

Belanjawan sebelum ini memberikan pengecualian 75% ke atas duti setem untuk hartanah berharga melebihi RM500,000.
PETALING JAYA:
Dengan belanjawan pertama kerajaan baharu bakal dibentangkan esok, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) sekali lagi menggesa pengecualian duti setem agar dapat diperluaskan kepada lebih banyak hartanah.

Setiausaha Agung Chang Kim Loong, berkata jika Belanjawan 2023 memasukkan sebarang pengecualian duti setem untuk pasaran perumahan, ia perlu diperluaskan kepada hartanah di bawah harga RM500,000.

Belanjawan sebelum ini memberikan pengecualian 75% ke atas duti setem untuk hartanah berharga melebihi RM500,000, dan Chang tahun lepas menyuarakan isu itu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada FMT semalam, beliau menyatakan terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk rumah lebih murah daripada RM500,000 dan berkata adalah wajar untuk memperluaskan pengecualian kepada mereka.

“Jika sebarang bentuk pengecualian duti setem sebanyak 75% dipertimbangkan, faedah itu mungkin boleh ditawarkan kepada pembeli hartanah di pasaran primer dan sekunder yang berharga di bawah RM500,000,” katanya.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, 56% unit kediaman yang dijual pada separuh pertama tahun lalu berharga RM300,000 atau lebih rendah. Hartanah berharga antara RM500,000 dan RM1 juta menyumbang 15% daripada jumlah yang dijual.

Chang berkata kerajaan akan menggunakan wang pembayar cukai untuk memberikan pengecualian ke atas rumah berharga melebihi RM500,000 kerana ia akan mengutip hasil dan cukai yang kurang daripada hartanah berharga tinggi. Ini kerana kebanyakan rumah akan kekal tidak terjual.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), NK Ting berkata program pemilikan rumah seperti Hope, yang diperkenalkan pada 2022, akan memberi manfaat kepada pembeli rumah pertama dari kategori berpendapatan rendah hingga sederhana.

Beliau juga berkata kerajaan harus mencari jalan mengurangkan kenaikan kos bahan binaan, menyatakan bahawa ia antara isu utama yang dihadapi pemain industri sejak ekonomi memasuki tempoh pemulihan pasca pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.