Cukai pendapatan: LHDN bantah permohonan Shafee fail tuntutan balas

Cukai pendapatan: LHDN bantah permohonan Shafee fail tuntutan balas

Shafee Abdullah memohon kebenaran mahkamah untuk memfailkan tuntutan balas terhadap LHDN yang menuntutnya membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Muhammad Shafee Abdullah mendakwa tuntutan cukai tersebut merupakan serangan terhadapnya sebagai mangsa politik.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini membantah permohonan Muhammad Shafee Abdullah bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memfailkan tuntutan balas terhadap LHDN yang menuntut agar beliau membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus, yang mewakili LHDN, berkata pihaknya membantah permohonan itu atas alasan Aturan 73 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Subseksyen 42(2)(e)(i) Akta Prosiding Kerajaan 1956 menyatakan tuntutan balas tidak boleh difailkan terhadap kerajaan bagi tindakan pemungutan cukai.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain kemudian menetapkan 13 April untuk memutuskan perkara itu.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Muhammad Shafee, ketika dihubungi mengesahkan tarikh itu.

Muhammad Shafee juga diwakili Rajan Navaratnam manakala Peguam Kanan Hasil Norzilah Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause turut bertindak bagi LHDN.

Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada Mei 2021 antaranya atas alasan tuntutan cukai tersebut merupakan serangan terhadap beliau sebagai mangsa politik atas kapasitinya selaku peguam Najib Razak dan dianggap sebagai peguam Umno walaupun beliau bukan peguam parti berkenaan.

Pada 27 Sept 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

LHDN, yang memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021, mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 28 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Bagaimanapun, pendakwaan pada 1 Nov 2022 telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.