
Esther Ng berkata, surat seperti itu biasanya diterbitkan secara verbatim dan tidak melalui proses pengesahan termasuk pemeriksaan fakta seperti artikel berita biasa.
Beliau berkata demikian dalam saman fitnah oleh Lim Guan Eng berhubung surat kepada pengarang oleh Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng yang diterbitkan akhbar itu, Mac tahun lalu.
Surat Tan itu menuntut supaya Lim memberi penjelasan berhubung dakwaan bahawa RM4 juta daripada perbendaharaan persekutuan kepada sebuah sekolah Cina disertakan syarat supaya turut memasukkan nama pemaju yang menyumbang sejumlah wang besar bagi pembinaannya.
Lim yang juga menteri kewangan ketika permohonan itu diluluskan, menafikan dakwaan berkenaan seterusnya memfailkan saman fitnah terhadap Tan dan The Star.
Ng memberitahu mahkamah, akhbar itu menerbitkan semua surat melainkan kandungannya menjelekkan.
Katanya, dalam kes surat Tan itu, isu berkenaan dilaporkan secara meluas dalam akhbar berbahasa Cina ketika pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022. Ng berkata, Lim bebas mematahkan dakwaan Tan menerusi suratnya sendiri, yang boleh diterbitkan akhbar itu.
“Kami menerbitkan pandangan Tan. Ia isu panas dan berterusan ketika pilihan raya negeri Johor.
“Jika begitu, ia surat iaitu pendirian penulisnya dan isu kepentingan awam. Jika surat menjelikkan kami tidak akan menerbitkannya,” katanya dengan menambah perkara itu melibatkan isu penting.
Sementara itu, menjawab soalan balas peguam K Simon Murali, Ng berkata pihaknya menerima emel daripada biro publisiti MCA yang turut mengandungi kata-kata “kenyataan akhbar”.
Menurutnya, memandangkan surat itu diterima lewat ia diterbitkan sebagai surat dan disebabkan itu tiada keperluan untuk menghubungi penulisnya bagi mengesahkan faktanya.
Hakim Quah Chew Soon menetapkan 12 April untuk hujahan dan 21 Jun untuk keputusannya.