RUU kawalan tembakau mungkin kuat kuasa tahun depan

RUU kawalan tembakau mungkin kuat kuasa tahun depan

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pembentangan semula RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan melarang individu lahir selepas 2007 menggunakan produk tembakau dan produk vape.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dalam masa terdekat supaya penguatkuasaannya dapat dimulakan tahun depan.

Menerusi jawapan disiarkan di laman web Parlimen, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan telah membuat penelitian semula dan akan meneruskan pembentangan RUU berkenaan dengan pindaan dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Khas melalui penyata disiarkan, pada 5 Okt tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan bagi menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) mengenai garis masa kementerian menggubal RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

RUU itu digubal untuk bacaan kali pertama serta kedua pada mesyuarat ketiga penggal kelima sidang Dewan Rakyat ke-14, pada Ogos 2022.

Bagaimanapun, RUU berkenaan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk penelitian lanjut.

Menurut KKM, pembentangan RUU itu tertangguh akibat pembubaran Parlimen, pada 10 Okt 2022.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung situasi perkhidmatan ambulans KKM, kementerian itu, berkata berdasarkan pemantauan dari 2016 hingga 2022, pencapaian kebangsaan kualiti perkhidmatan ini adalah antara 28% hingga 42%.

Bagi mengatasi isu ini juga, KKM juga telah mengangkat permohonan penggantian dan penambahan jumlah ambulans untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan pra-hospital dan ambulans di seluruh negara.

“Setakat ini, pihak kementerian sedang menunggu pembekalan sebanyak 590 unit ambulans daripada syarikat pembekal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.