Pengurangan kapal LCS dibawa semula ke mesyuarat kabinet

Pengurangan kapal LCS dibawa semula ke mesyuarat kabinet

Mohamad Hasan berkata pihaknya merasakan perlu membawa semula kes meneruskan LCS kepada kerajaan baharu.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata kerajaan terdahulu menerusi mesyuarat kabinet terakhir memutuskan supaya pembinaannya dihadkan kepada lima unit sahaja.
KUALA LUMPUR:
Keputusan mengurangkan bilangan kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) daripada enam kepada lima unit akan dibawa semula ke mesyuarat kabinet dalam kerajaan baharu, kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.

Katanya, kerajaan terdahulu menerusi mesyuarat kabinet terakhir memutuskan supaya pembinaannya dihadkan kepada lima unit sahaja.

“Memandangkan kerajaan ini adalah kerajaan baru, maka Kementerian Pertahanan merasakan perlu kementerian bawa semula kes meneruskan LCS kepada kerajaan baharu.

“Pada ketika itu terpulang kepada jemaah menteri nak putuskan enam atau lima unit. Kerajaan terdahulu hadkan kepada lima unit sahaja,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Pada 20 Feb lalu, ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, Mohamad memaklumkan tiada pengurangan dalam harga siling projek RM9 bilion meskipun pembinaannya dikurangkan dari enam kepada lima unit.

Menurutnya, perkara itu disebabkan kenaikan harga barangan dan penambahan kos pembinaan.

Kerajaan perpaduan akan meneruskan projek LCS sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan Tentera Laut dan negara.

Projek LCS itu, dikatakan sebagai perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara, diteliti tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tidak ada satu kapal pun telah disiapkan walaupun Putrajaya telah membelanjakan RM6.08 billion untuknya.

PAC berkata, Tentera Laut sepatutnya menerima lima daripada kapal itu pada Ogos tahun lalu.

Projek itu telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus.

Sementara itu, Mohamad memaklumkan pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berhubung perjanjian penyelesaian antarabangsa membabitkan perolehan LCS.

Mohamad berkata, perkara itu disebabkan terdapat permintaan kaveat daripada pihak ketiga supaya mereka tidak dipersalahkan sebelum memeterai perjanjian penyelesaian berkenaan.

Mengulas lanjut katanya, isu itu menjadi halangan Mindef, walaupun kini kementerian itu sudah berada di peringkat akhir dalam penyelesaian perolehan LCS.

“Jangan kita tangguhkan (perolehan LCS) yang penting kita di peringkat akhir namun ada halangan mengenai perjanjian penyelesaian antarabangsa, di mana ada kaveat dari pihak ketiga bahawa mereka akan menandatangani dan tidak lagi mencampuri hal ehwal pembinaan LCS.

“Namun dengan syarat, mereka dilepaskan dari segala tanggungjawab kalau ada apa-apa faktor mitigasi pada masa depan di mana Mindef tiada kuasa dalam menentukan untuk bersetuju dengan permintaan mereka.

“Kami merujuk kepada Pejabat Peguam Negara mengenai kaveat diletakkan pihak ketiga untuk mereka bersetuju bagi menandatangani perjanjian terbabit,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata, syarat ditetapkan melalui kerajaan terdahulu untuk meneruskan perolehan LCS adalah dengan menggunakan pihak ketiga.

Beliau berkata, dalam menggugurkan perkhidmatan pihak ketiga itu, mereka perlu menandatangani perjanjian penyelesaian antarabangsa terlebih dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.