
Adam yang juga timbalan ketua Bersatu Segambut membuat pengakuan itu bagi kedua-dua tuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Bagi tuduhan pertama, Adam didakwa menerima rasuah sebanyak RM2 juta melalui akaun Syarikat Bayu Bumiraya yang mana beliau merupakan pengarah syarikat.
Dia didakwa menerima rasuah daripada Lian Tan Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan bernilai RM141 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 4 April 2022 dan 5 Jan 2023 di Cawangan CIMB Jalan Universiti, Petaling Jaya.
Bagi tuduhan kedua, Adam didakwa menerima rasuah sebanyak RM2.1 juta, juga melalui akaun Syarikat Bayu Bumiraya, daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd Mat Jusoh Mamat sebagai upah mendapatkan projek pembinaan jalan di Perlis, melibatkan kos RM47.8 juta.
Kesalahan didakwa dilakukan antara 26 Nov 2021 dan 2 Dis 2022 di Cawangan CIMB Jalan Universiti, Petaling Jaya.
Kedua-dua tuduhan dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000.
Rozilah kemudian menetapkan Adam dibenar ikat jamin RM300,000 bagi setiap tuduhan, dengan dua penjamin.
Beliau juga mengenakan syarat tambahan untuk Adam menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai dibicarakan.
Selain itu, hakim juga menetapkan Adam melapor diri kepada SPRM Putrajaya dua kali sebulan sehingga tarikh perbicaraan.
Sebutan kes ditetapkan pada 14 April.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Maziah Mohaide manakala Adam diwakili peguam Rajan Navaratnam, Roshan Selvaratnam dan Tay Yi Kuan.
Semalam, Adam didakwa atas tuduhan meminta dan menerima rasuah RM500,000 bagi membantu MIE Infrastructure and Energy Sdn Bhd mendapatkan surat perjanjian projek pembinaan jalan raya di Perlis bawah Jana Wibawa.
Sementara itu, secara berasingan semalam, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan minta dibicarakan selepas dituduh menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa.
Kedua-dua mereka ditahan SPRM kelmarin.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semalam mendakwa partinya mangsa “pendakwaan terpilih” susulan dakwaan terhadap Wan Saiful dan Adam Radlan.