
Ahmad menjawab soalan Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) dan Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) sama ada Putrajaya akan mempertimbangkan satu lagi pengeluaran KWSP.
Katanya, apa yang menjadi masalah ramai penyimpan dari kumpulan B40 dan M40 tidak mempunyai simpanan mencukupi tetapi masih mahu membuat pengeluaran lagi.
Menurutnya, 6.7 juta penyimpan KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000.
“Ini angka-angka yang tepat dan betul. Saya kira dalam Bajet 2023 pada Jumaat ini, bagaimana dijanjikan oleh perdana menteri ada kaedah-kaedah lain untuk bantu kumpulan ini,” katanya.
Ahmad berkata, kerajaan juga akan mencari kaedah untuk meningkatkan pendapatan supaya rakyat boleh menyumbang lebih ke dalam akaun KWSP mereka.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menolak untuk membenarkan satu lagi pengeluaran KWSP kerana bimbang simpanan yang terlalu sedikit.
Kira-kira 8.1 juta ahli KWSP mengeluarkan sejumlah RM145 bilion dalam beberapa siri pengeluaran ketika pandemik Covid-19.