PKS harap bantuan dalam Bajet 2023

PKS harap bantuan dalam Bajet 2023

Inflasi, kekangan buruh dan margin keuntungan mengecil menyulitkan PKS untuk bertahan.

PKS mahu melihat inisiatif dalam Bajet 2023 membantu mereka menangani masalah seperti peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan buruh.
PETALING JAYA:
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mahu kerajaan melunaskan janji melanjutkan bantuan untuk menyokong pemulihan industri itu.

“Antara cabaran didepani PKS melibatkan kos tinggi bahan mentah dan kekangan buruh (yang mana) menjurus kepada margin keuntungan menurun,” kata Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng, kepada FMT Business.

“Kami berharap dapat melihat pemberian insentif cukai dan peluang pembiayaan untuk menyokong pemulihan perniagaan.”

Ketika sesi pembukaan konsultasi belanjawan pada 17 Jan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2023 yang disemak akan menekankan kemajuan digital, PKS dan ekonomi hijau.

Samenta mahu kadar cukai pendapatan diturunkan kepada 15% bagi RM500,000 pertama dalam pendapatan bercukai, selain 50% pengurangan cukai bagi keuntungan tambahan dari luar negara.

Bagi PKS dengan modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta, kadar cukai dikurangkan daripada 18% kepada 17% bagi RM500,000 pertama pendapatan bercukai mulai tahun taksiran 2019. Bagi pendapatan bercukai melebihi RM500,000, kadar cukai dikenakan 24%.

Samenta bersetuju dengan cadangan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) mengenai pengecualian penuh cukai diperluas kepada perniagaan yang memperkenalkan inovasi sejajar standard Revolusi Industri 4.0.

Ng berkata, pendekatan berkenaan menggalakkan perniagaan tempatan menyertai semula rangkaian bekalan global dan menerima pakai pendigitalan bagi mengelak daripada terus ketinggalan.

Untuk menyamaratakan gelanggang bagi PKS dalam pasaran tempatan, Ng berkata, Samenta ingin melihat semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membentangkan laporan prestasi tahunan merangkumi perincian aktiviti mereka melibatkan PKS.

“Laporan itu perlu memperincikan jumlah pembekal (PKS) sedia ada dan baharu yang bekerjasama dengan GLC, termasuk PKS baharu yang akan mengambil alih peranan itu.

“Selain itu, laporan berkenaan perlu menggariskan usaha GLC membantu menaik taraf kemahiran dan kesediaan PKS,” katanya.

Jangan biarkan PKS menunggu

Aliran tunai juga menjadi masalah, menurut Presiden Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing, dan perkara itu menjerut operasi.

“Perniagaan memerlukan tunai segera, dan mereka kehilangan masa menunggu geran atau pinjaman diluluskan,” katanya.

Katanya, skim pembiayaan bagi PKS mesti cukup cekap agar dana dapat dikeluarkan tepat pada masanya.

“Bagaimana PKS hendak berniaga jika mereka tunggu wang berbulan-bulan? Berapa lama mereka kena tunggu geran kerajaan? Lebih baik tak payah (mohon pinjaman),” katanya kepada FMT Business.

Katanya, pinjaman daripada bank bukanlah pilihan utama kerana kadar faedah tinggi dikenakan.

Antara punca PKS berdepan masalah aliran tunai adalah syarat kredit lebih lama yang perlu dipanjangkan kepada pelanggan mereka.

Justeru, FMM mencadangkan tempoh statutori pembayaran selama 45 hari diperkenalkan, seperti mana dilaksanakan dalam Akta Persaingan Dagangan di Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.