
Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, berkata perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda PAS Marang, Yusof Abdul Hadi.
“Pemuda memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan juga mengucap terima kasih di atas layanan baik yang diberikan oleh pihak polis.
“Barang-barang replika dan kostum yang diperbuat daripada kayu, dan plastik PVC diserahkan kepada pihak polis.
“Pemuda kekal tenang. Hanya kepada Allah kami berserah, perjuangan diteruskan,” katanya.
Dilaporkan semalam, polis Terengganu merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan berhubung perarakan di Setiu itu.
Beberapa lagi individu lain turut dipanggil untuk diambil keterangan, termasuk pihak penganjur dan ahli jawatankuasa, kata Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa.
Menurutnya, setakat ini terdapat tiga laporan polis dibuat berhubung isu tersebut.
Ahad lepas, tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak pada program Pemuda PAS di Setiu.
Difahamkan, perarakan itu diadakan pada acara pembukaan sempena perkumpulan Pemuda PAS Terengganu, yang berlangsung selama dua hari.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang tidak menyertai acara itu, dilaporkan menganggap Pemuda PAS Terengganu berarak bersama pedang, lembing, dan perisai sebagai “pelik”.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menyelar perarakan seperti tentera itu dengan berkata, ia bukan sahaja tidak wajar malah boleh menimbulkan keresahan orang ramai.