
“Saya boleh mengesahkan bahawa saya dipanggil oleh SPRM, dan insyaallah saya akan berjumpa dengan mereka secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis.
Tengku Zafrul yang merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata beliau akan berkongsi butiran lanjut dengan media selepas bertemu SPRM.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Azam Baki mengesahkan Tengku Zafrul akan dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan program Jana Wibawa.
Jana Wibawa merupakan pakej rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.
Program itu terpalit dengan kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kos yang terlibat dalam beberapa projek diberikan adalah terlalu tinggi, dan beberapa juga tidak melalui proses tender.
Sabtu lalu, Zafrul berkata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan sekiranya dipanggil untuk disoal siasat.
“Saya bersedia untuk memberikan kenyataan jika perlu,” katanya di Instagram, menjawab dakwaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bahawa pakej rangsangan Jana Wibawa dicadangkan oleh Tengku Zafrul dan diuruskan oleh Kementerian Kewangan.