Saman The Star: Guan Eng nafi ‘tindakan selektif’

Saman The Star: Guan Eng nafi ‘tindakan selektif’

Bekas menteri kewangan berkata, beliau menggunakan budi bicaranya dalam memfailkan saman fitnah terhadap akhbar berkenaan.

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng (kiri) dilihat bersama Lim Guan Eng dan Teo Nie Ching dari DAP di mahkamah George Town.
GEORGE TOWN:
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menafikan bersifat selektif dalam memfailkan saman fitnah terhadap pemilik akhbar The Star berhubung laporan mengenai tindakannya berkait sebuah sekolah Cina.

Lim berkata demikian di Mahkamah Tinggi ketika disoal kenapa beliau menyasarkan akhbar itu dalam saman berkaitan artikel oleh Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng dengan tajuk “Guan Eng’s bullying of TAR UC a contributory factor to Pakatan demise”.

Penerbit akhbar itu, Star Media Group, dan Tan, dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan.

Lim menuntut ganti rugi kerana mendakwa artikel itu menuduhnya mempolitikkan pembiayaan SRK(C) Kuek Ho Yao di Johor.

Katanya, artikel itu mendakwa beliau “tidak berani menafikan” telah meletakkan syarat bahawa sekolah itu akan mendapat pembiayaan sebanyak RM4 juta jika namanya ditukar.

Sementara itu, peguam Ng Kian Nam dalam soal balas bertanya kenapa Lim mengambil tindakan terhadap The Star walaupun akhbar lain turut menyiarkan kenyataan Tan itu.

Lim menegaskan itu budi bicaranya, dan beliau mempunyai hak untuk memutuskan siapa yang patut dikenakan saman fitnah.

Selain itu Lim berkata beliau tidak mengenakan sebarang syarat untuk pembiayaan sekolah itu. Katanya, sebagai menteri kewangan ketika itu beliau hanya mempunyai kuasa untuk meluluskan pembiayaan sekolah vernakular.

Dalam keterangannya, Lim turut mempertahankan dakwaannya dalam kenyataan akhbar bertarikh 9 Mac, bahawa isu nama sekolah itu seperti dibangkitkan dalam artikel The Star telah menjejaskan DAP dalam pilihan raya negeri Johor pada 2021.

Katanya, parti itu dimaklumkan bahawa kenyataan negatif terhadap mendiang Kuek Ho Yao – seseorang yang amat terkenal dan disegani dalam masyarakat Cina Johor – menjejaskan sokongan DAP dalam kalangan golongan itu.

Lim berkata, kekalahan calon DAP di Yong Peng tidak sepatutnya berlaku memandangkan majoriti penduduk kawasan itu berbangsa Cina.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dalam keterangannya berkata, Lim tidak meletakkan sebarang syarat bahawa SRJK (C) Kuek Ho Yao hanya akan menerima pembiayaan persekutuan jika namanya ditukar.

Teo berkata, kementerian pendidikan tidak terlibat dalam isu berkaitan pembinaan sekolah yang turut merangkumi penamaannya.

Katanya, kementerian pendidikan hanya memperuntukkan dana yang sepatutnya disalurkan untuk sekolah vernakular Cina kepada kementerian pendidikan, yang seterusnya mengagihkannya kepada sekolah berkenaan.

Lim menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Tan dan Star Media Group Berhad. Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.