Permohonan Najib cabar Jabatan Penjara halang ke Parlimen didengar 11 Ogos

Permohonan Najib cabar Jabatan Penjara halang ke Parlimen didengar 11 Ogos

Mahkamah Rayuan tetapkan tarikh itu bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding mencabar keputusan Jabatan Penjara menolak bekas perdana menteri ke Dewan Rakyat.

Pada 27 Okt 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib Razak untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Ogos untuk mendengar rayuan Najib Razak bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding mencabar keputusan Jabatan Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Peguam Persekutuan, Ng Wee Li mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama.

Prosiding pengurusan kes bagi rayuan itu dijalankan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Pada 27 Okt 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan permohonan Najib bersifat akademik susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt 2022 untuk membuka laluan kepada PRU15 yang berlangsung pada 19 Nov tahun lalu.

Hakim berkata, melainkan dan sehingga pengampunan diberikan kepada Najib atau sabitannya dibatalkan selepas semakan kehakiman, tiada kemungkinan beliau akan menjadi Ahli Parlimen semula sambil menambah undang-undang melarang mana-mana orang disabitkan daripada bertanding dalam pilihan raya.

Najib telah menamakan kerajaan, menteri dalam negeri dan komisioner jeneral Penjara sebagai responden dalam permohonan yang difailkan pada 5 Okt tahun lalu.

Najib memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan komisioner jeneral Penjara yang tidak memberikan beliau akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan dan konstituen.

Beliau sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.