Kerakyatan bayi: Kerja PN ‘senangkan’ kerajaan sekarang, kata Mas Ermieyati

Kerakyatan bayi: Kerja PN ‘senangkan’ kerajaan sekarang, kata Mas Ermieyati

Bekas timbalan menteri undang-undang itu berkata bekas kerajaan patut dipuji atas keputusan Kabinet untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Mas Ermieyati Samsudin berkata kerajaan terdahulu telah mencadangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan hak kerakyatan kanak-kanak dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri undang-undang Mas Ermieyati Samsudin berkata pentadbiran sebelum ini patut dipuji kerana meletakkan asas yang membawa kepada keputusan Jemaah Menteri meminda Perlembagaan bagi membolehkan kerakyatan automatik kepada bayi dilahirkan wanita rakyat Malaysia di luar negara.

Mas Ermieyati (PN-Masjid Tanah) mengucapkan tahniah kepada aktivis yang selama ini memperjuangkan hak sama rata untuk ibu.

Menurut Mas Ermieyati, semasa menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau mengetuai kumpulan berkaitan bertemu menteri undang-undang ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang menyatakan komitmen pada pindaan itu.

Isu itu juga dibincangkan dengan Hamzah Zainudin, Saifuddin Abdullah dan Hishammuddin Hussein, yang sebelum ini masing-masing menerajui portfolio dalam negeri, luar negeri, dan pertahanan.

“Komunikasi dengan pihak Istana Negara juga telah dibuat.

“Kerajaan hari ini tinggal buat keputusan sahaja. Maksudnya apa? Kerja semua kita dah buat, tak ke senang? Kerajaan hari ini buat keputusan saja!” katanya semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pentadbiran lepas yang dipimpin oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, dianggotai menteri daripada PN dan mentadbir dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Mas Ermieyati berkata, secara prinsip, PN mempunyai pendirian yang sama dalam isu hak kewarganegaraan dengan kerajaan sekarang, sambil menegaskan ia isu yang “tidak boleh didiskriminasi”.

“Kita mempunyai pendirian yang sama tentang soal hak kewarganegaraan ini – tidak boleh ada diskriminasi, Perlembagaan perlu dipinda, undang-undang berkaitan perlu diperbaiki, peraturan-peraturan tertentu perlu kita murnikan,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju meminda Perlembagaan bagi memperuntukkan kerakyatan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia.

Pindaan itu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Rakyat semasa selepas memenuhi keperluan undang-undang.

Menurut peruntukan sedia ada, kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan automatik kerana Perlembagaan hanya memperuntukkan kewarganegaraan melalui bapa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.