
Bagaimanapun Fahmi berkata, pengamal media perlu ada titik keseimbangan dalam melaporkan artikel yang melibatkan sumber yang tidak didedahkan identiti mereka.
“Berkenaan dengan sumber, yang saya pun bersetuju dengan YB (Shahidan Kassim), mungkin perlu ada titik keseimbangan antara sumber yang dikatakan benar ataupun tak benar.
“Kita juga ambil maklum ada kalangan wartawan, mereka ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka tapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang membangkitkan isu penggunaan “sumber” di dalam laporan mereka meskipun ia merupakan maklumat yang benar.
Mengulas lanjut, Fahmi (PH-Lembah Pantai) memberi contoh laporan berita sebuah syarikat penyiaran yang telah menyiarkan berita berhubung dakwaan rancangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam di negara ini.
Katanya, ia merupakan pelanggaran kali keenam oleh syarikat penyiaran terbabit, di mana lima daripadanya sewaktu pentadbiran kerajaan sebelum ini.
Fahmi sebelum itu berkata kerajaan memandang serius isu etika kewartawanan dengan merujuk tindakan pemberita yang tidak beretika dan jujur dalam menerbitkan laporan media seperti meletakkan tajuk artikel yang bercanggah dengan kandungannya.
“Wartawan seharusnya berpegang teguh kepada prinsip dan etika kewartawanan dengan hanya melaporkan berita yang tepat dan sahih selaras peruntukan undang-undang. Sebarang siaran maklumat yang tidak benar perlulah diperbetulkan segera dengan pemakluman kesilapan tersebut (errata).
“KKD mempunyai perancangan untuk meminda Akta 588, namun tidak bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk memantapkan kerangka kerja kawal selia berkaitan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian (security and reliability),” katanya.