Anak 2 tahun maut, lelaki mohon bantuan rakaman ‘dashcam’, kesan kenderaan punca nahas

Anak 2 tahun maut, lelaki mohon bantuan rakaman ‘dashcam’, kesan kenderaan punca nahas

Mangsa kanak-kanak berusia dua tahun, Gibran Alfarizqi maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan.

Kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru, Bandar Penawar, Johor Bahru melibatkan lima kenderaan dan meragut nyawa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pilu hati seorang bapa disebabkan kecuaian dan kelalaian pemandu menyebabkan satu-satunya anak berusia dua tahun terkorban dalam kemalangan itu.

Mangsa kanak-kanak berusia dua tahun, Gibran Alfarizqi maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM 57.2 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Bandar Penawar, Johor Bahru, petang semalam.

Bapanya, Aizat Istamuel Amir Hamzah, 30, berkata, antara 3.30 hingga 4.30 petang semalam, mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan di SDE menghala ke Pasir Gudang.

Ujarnya, sebelum kemalangan dia menyedari sebuah kenderaan berwarna hitam atau gelap memotong terlalu rapat dengan kereta dari arah bertentangan, menyebabkan mereka mengelak dan terbabas melanggar kenderaan jenis Proton Persona dipandunya.

“Sebelum kemalangan, saya melihat ada sebuah kenderaan berwarna hitam atau gelap memotong terlalu rapat kereta dari arah bertentangan, hingga mereka mengelak dan terbabas melanggar saya dan kereta di belakang.

“Saya mohon bantuan jikalau ada sesiapa ada ‘dashcam’ (kamera perakam) atau lain-lain bukti atau saksi untuk tampil ke Balai Trafik Kota Tinggi,” katanya.

Aizat ketika dihubungi berkata, isterinya, Farida Kurnianingsih, 36, parah di badan sehingga kini masih belum dapat menerima kehilangan satu-satunya anaknya.

“Saya kehilangan anak, isteri pula parah akibat patah beberapa anggota badan. Isteri sekarang dipindahkan ke wad Hospital Sultan Ismail (HSI), doktor beritahu kena sediakan RM5,000 untuk pembedahan memasukkan besi.

“Isteri dah tahu berkenaan anak, tetapi dia masih tak boleh terima,” katanya ketika dihubungi FMT sambil memaklumkan setakat ini dua individu telah tampil memberi rakaman dashcam berkenaan kejadian itu.

Memetik catatan Aizat di Facebook, dia sempat mengimbau kenangan akhir bersama arwah anaknya selain berharap agar pemandu yang menjadi punca kemalangan bertanggungjawab atas kemalangan berlaku.

“Pagi semalam saya membawa isteri dan anak bermain pantai di Desaru. Gibran sangat gembira bermain pantai dan bersama mama dan papa.

“Awak telah merampas hidup anak saya. Saya harap awak yang menyebabkan kemalangan ini sedar dan bertanggungjawab,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, polis dalam kenyataan meminta saksi kejadian menghubungi pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Tinggi, Amirul Mustakim Mustaza di talian 017-479 3329 bagi membantu siasatan.

Semalam, kanak-kanak lelaki maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu Proton Pesona, Honda CRZ, Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Honda Insight.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.