
Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa, berkata beberapa lagi individu lain turut dipanggil petang ini untuk diambil keterangan bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Setakat ini 12 keterangan telah diambil termasuk pihak penganjur dan ahli jawatankuasa program.
“Sebahagian lagi keterangan akan diambil dengan memanggil beberapa saksi lagi termasuk peserta program,” katanya menurut Sinar Harian.
Menurut beliau, setakat ini terdapat tiga laporan polis dibuat berhubung isu tersebut.
Ahad lalu, tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak pada program Pemuda PAS di Setiu, Terengganu.
Selain replika senjata dipegang lelaki dengan memakai kostum zaman perang, terdapat juga replika sebilah pedang gergasi dibawa menaiki pacuan empat roda.
Replika itu antara alatan digunakan dalam pertandingan dianjurkan sepanjang program himpunan berkenaan.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution menyelar perarakan seperti tentera oleh Pemuda PAS Terengganu dan berkata, ia bukan sahaja tidak wajar malah boleh menimbulkan keresahan orang ramai.
Saifuddin menjelaskan isu berkisar tentang tiga ‘R’ iaitu kaum, agama dan hak masih belum reda selepas pilihan raya umum lalu.
Perarakan itu adalah sebahagian daripada perhimpunan dua hari PAS dikenali sebagai Himpit.