Selangor sumbang RM5,000 kepada waris mangsa tanah runtuh Batang Kali

Selangor sumbang RM5,000 kepada waris mangsa tanah runtuh Batang Kali

Bantuan kewangan itu merupakan inisiatif pertama kali dilaksanakan kerajaan Selangor bagi membantu keluarga terjejas.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah, berkata sumbangan sama juga akan disalurkan kepada waris mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali, di Pulau Pinang dan Melaka dalam masa terdekat.
HULU SELANGOR:
Kerajaan Selangor menyerahkan sumbangan wang ihsan RM5,000 kepada 15 penerima membabitkan 31 mangsa kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali, pada Disember.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah berkata, bantuan ini merupakan inisiatif pertama kali dilaksanakan kerajaan negeri bagi membantu keluarga terjejas.

“Setakat ni kita beri (bantuan) kewangan dulu, tapi mungkin ada keperluan lain.

“Kerajaan negeri dari segi penjagaan dan sebagainya kita akan lihat pelaksanaannya kerana yang terlibat bukan semua dari negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah kita Selangor Penyayang di Batang Kali.

Menurutnya, sumbangan itu diserahkan secara berperingkat dengan bantuan kepada waris mangsa di Selangor diserahkan hari ini, manakala bagi mangsa di Pulau Pinang dan Melaka akan disampaikan dalam masa terdekat oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Dalam kejadian pada awal pagi 16 Dis, tragedi membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 individu terdiri 18 dewasa dan 13 kanak-kanak, terkorban berikutan runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.