
Ketua Pemuda PAS Terengganu Mohd Harun Esa berkata, walaupun beliau tidak nampak logiknya untuk perkara itu disiasat namun sedia memberikan kerjasama.
Terdahulu Polis Terengganu dilaporkan akan memanggil Harun untuk memberi keterangan berhubung perarakan tersebut.
Harun dalam satu kenyataan berkata program yang menghimpunkan seluruh jentera Pemuda PAS Terengganu itu merupakan acara tahunan yang diadakan sejak 1991 lagi.
Katanya, satu kontinjen yang menjadi isu itu hanya memakai pakaian seragam perang era zaman sahabat dan ia hanyalah bagi memenuhi tema perarakan mereka.
“Sama seperti perarakan dan pertandingan ‘cosplay’ yang dibuat di seluruh pelusuk negara yang menayangkan senjata-senjata adiwira kegemaran mereka.
“Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan yang berlangsung dengan aman,” katanya.
Harun berkata, tiada istilah keganasan dan provokasi dalam perarakan itu, malah ia sangat menarik melihat kreativiti peserta mempamerkan idea masing-masing.
Awal hari ini, tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki dipercayai ahli PAS berarak menggunakan pedang, lembing dan perisai.
Carian dalam akaun Facebook Pemuda PAS Terengganu mendapati, terdapat gambar sekumpulan lelaki berarak bersama pedang, lembing dan perisai, sambil bendera PAS turut sama kelihatan.
Akaun sama juga turut memaparkan kehadiran Presiden PAS Abdul Hadi Awang, selain beberapa tetamu lain.
Difahamkan, perarakan itu berlaku pada Jumaat, di Setiu, Terengganu, pada acara pembukaan sempena perkumpulan Pemuda PAS negeri itu yang berlangsung selama dua hari.